RAHSIA KEJAYAAN LIM GOH TONG

Perniagaan menuntut sepenuh perhatian, tenaga, masa dan pengorbanan yang seluruh kerana perniagaan merupakan bidang yang sangat serius. Jika kita berani mengambil risiko, perniagaan kita akan terus maju. Jika tidak, angan-angan hangat tahi ayam ini akan berhenti dipertengahan jalan dan maruah diri sendiri yang terpaksa digadai. Perniagaan boleh diibaratkan sebagai maruah seseorang kerana tiada seorang pun yang mahu hidupnya gagal dan diperlekehkan pihak lain. Orang yang bijak dalam perniagaan mampu merasai kehidupan yang sebenar dengan memiliki semua keinginan dan impian. Seperti memiliki banglo seperti istana, memandu kereta mewah, mempunyai kewangan yang stabil, bercuti di serata pelusuk dunia dengan pelbagai kemudahan lain. Menjurus kepada topik asal, perniagaan dengan Orang Cina adalah sangat sebati dan sukar untuk dipisahkan. Boleh dikatakan bahawa rahsia kejayaan Orang Cina adalah melalui perniagaan. Disebabkan hal itu, ramai golongan jutawan Malaysia terdiri daripada golongan Orang Cina. Golongan ini mampu hidup mewah hasil daripada peluang perniagaan yang diceburi mereka. Lebih jelas lagi jika kita katakan bahawa sebarang jenis perniagaan di Malaysia dimonopoli oleh golongan ini. Sejak awal penubuhan Tanah Melayu, golongan ini yang datang berhijrah dari China telah memegang tampuk pentadbiran dalam urus niaga terutamanya perusahaan lombong.

Senarai terbaru kedudukan jutawan Malaysia menurut Malaysian Business 2011, kedudukan tempat pertama ialah Raja Gula Malaysia, iaitu Tan Sri Robert Kouk. Beliau merupakan seorang Cina yang memegang aset bernilai RM 50.04 billion. Perniagaan gula yang diusahakannya telah meletakkan statusnya pada tahap tertinggi hari ini. Tempat kedua disusuli oleh seorang taikun komunikasi, T Anand Krishnan dengan aset bernilai RM 45.78 billion. Tangga ketiga juga dikuasai oleh Orang Cina iaitu Pengerusi Public Bank, Tan Sri The Hong Piow dengan aset bernilai RM 12.77 billion. Tangga keempat sehingga tangga keenam turut dimonopoli golongan Cina dan tangga ketujuh adalah Orang Melayu iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary daripada Yayasan AlBukhary dengan aset bernilai RM 8.84 billion. Golongan ini mempunyai cara yang tersendiri untuk terus maju dan meluaskan lagi empayar perniagaan mereka.


Contoh yang paling rapat dengan kita adalah pembukaan pusat pelancongan terbesar iaitu Genting Highlands Resort. Kedatangan beliau sebagai seorang yang sangat miskin menyebabkan beliau berusaha lebih keras untuk membaiki taraf hidup. Pengasas Genting Group merangkap hartawan Asia, Tan Sri Lim Goh Tong pernah mendedahkan beberapa tips yang diamalkannya sendiri sehingga berjaya menjadikan Genting Highlands Resort sebagai pusat hiburan dan percutian terkemuka dunia. Sebagai rakyat Malaysia, kita patut berbangga dan menjadikannya sebagai inspirasi untuk terus maju dalam perniagaan. Mendiang Tan Sri merupakan pengasas Genting Group dan presiden seumur hidup. Beliau meninggal dunia pada tahun 2007 sebagai orang terkaya Asia Tenggara dengan aset bernilai RM 421.8 billion!

Merendah Diri, Bersopan Santun dan Menghormati Orang Lain

Perasaan rendah diri dan tidak bongkak dengan kemewahan yang dimiliki akan menjadikan diri seseorang lebih berwaspada dengan usaha yang dilakukan. Serta tidak pernah lalai dengan wang yang banyak. Jadi, wang yang dikumpul sentiasa menjanjikan pulangan modal yang dapat digunakan pada masa depan dan wang itu juga boleh mula disimpan. Amalan merendah diri akan membuatkan ramai orang yang suka berdamping dan suka berkawan dengan kita. Walaupun kita sudah menjadi antara usahawan yang terkenal, nilai untuk menghormati orang lain jangan dilupa. Kerana nilai ini menggambarkan sikap secara keseluruhannya. Selain itu, Tan Sri juga mengamalkan sikap dengan menepati masa yang telah dibuat. Beliau juga akan hadir 10 minit lebih awal dari masa yang telah dijanjikan. Beliau sendiri tidak pernah memungkiri janji yang telah dibuat. Kerana perkara seperti ini akan menjejaskan hubungan yang telah dibina. Seboleh-bolehnya, jauhi kelakuan ini untuk menjamin hubungan yang baik. Tan Sri juga mengamalkan amalan bangun tidur awal dan kembali ke bilik tidur lambat. Jika mahu berjaya dalam perniagaan, mari kita cuba tips beliau.

Berkerja Keras & Sedaya Upaya

Orang Cina sentiasa positif dalam dunia perniagaan. Kerana, dunia perniagaan menjanjikan peluang untuk menikmati kehidupan yang sangat manis. Untuk menjadi senang kita tidak mempunyai pilihan selain bekerja kuat atas usaha diri sendiri. Mengikut perkiraan Orang Cina, apabila mereka hidup dalam kemewahan, secara sendirinya kebahagiaan itu akan hadir. Pemikiran Orang Cina dengan bangsa lain adalah sangat berbeza. Orang Melayu contohnya hanya berharap untuk berkhidmat dalam kerajaan selepas menamatkan pengajian di universiti. Hal ini membuatkan mereka tidak berfikir di luar kotak untuk mencuba sesuatu yang baru atau cuba untuk membaiki taraf hidup yang lebih selesa. Pemikiran lama ini sering sahaja menghantui hidup bangsa Melayu dan membuatkan golongan ini gagal untuk berada pada kedudukan yang selesa setaraf juwatan Malaysia. Rata-rata usahawan Cina yang berjaya bekerja 18 jam sehari. Mereka hanya ada masa yang terhad untuk merehatkan diri. Sebab itulah mereka menghargai masa sebaiknya. Jika kaum lain, cukuplah apabila keluar bekerja pukul 8 pagi dan pulang dari tempat kerja pada pukul 5 petang. Hanya tunggu hujung bulan apabila gaji boleh dikeluarkan.

Golongan ini juga sentiasa bersikap tamak dan tidak pernah berpuas hati dengan keselesaan yang sedia dinikmati. Mereka tidak pernah jemu untuk menjadi kaya. Sikap ini menjadi pembakar semangat mereka untuk berusaha dengan lebih gigih. Jika hendak dibandingkan dengan kaum lain seperti Melayu sendiri, mereka akan cepat merasa puas dan selesa dengan apa yang mereka miliki. Mereka kurang berminat untuk memperbaiki hidup yang selesa untuk menjadi lebih selesa lagi. Itulah kelemahan kaum Melayu. Mungkin mereka baik dalam bidang lain, bukan dalam bidang pernigaan. Rata-rata kaum lain tidak berminat untuk menambahkan masalah sakit kepala apabila beban dan tanggungjawab kerja semakin bertambah. Bagi kaum lain, orang tamak selalu rugi, tetapi tidak bagi Orang Cina. Semakin tamak, semakin baik. Orang kaya akan semakin kaya, dan orang yang malas akan terus susah. Orang Cina bersikap tamak untuk mengumpul aset yang dimiliki dan untuk kesenangan generasi mereka. Mungkin juga mereka dipengaruhi oleh faktor yang telah diketahui ramai bahawa Orang Cina sangat bijak dalam selok-belok perniagaan. Disebabkan hal inilah menjadi faktor pendorong untuk menjadikan mereka terus kaya. Bimbang jika air muka mereka jatuh.

Amalan Menyimpan Wang

Tan Sri mengamalkan sikap dengan menyimpan wang yang diperolehi bukan untuk dibelanjakan tetapi untuk dibuat pusingan modal dan pelaburan yang akan datang. Jika tidak, hanya sekali sahaja kita akan untung, selepas itu hanya kerugian sahaja yang diterima. Adat berniaga pasti ada untung rugi. Tetapi jika hanya rugi, tandanya perniagaan itu sudah tidak mampu bertahan lama. Wang modal perniagaan dengan wang perbelanjaan harian mesti disimpan secara berasingan. Hal ini bagi mengelakkan masalah pengeluaran perbelanjaan untuk keperluan yang tidak sepatutnya. Apabila melihat wang yang banyak, tanpa berfikir panjang pasti kita akan menggunakan wang itu tanpa menyedari itu adalah wang untuk pusingan dan pelaburan yang seterusnya. Manusia sememangnya mudah alpa, nampak sahaja kemudahan yang ada, mulalah lupa dunia. Wang yang sepatutnya disimpan silap-silap habis dibelanjakan pula. Apabila perniagaan semakin maju, modal juga semakin besar. Apabila mempunyai wang yang besar untuk dilaburkan maka keuntungan juga semakin tinggi. Mempunyai kedudukan yang kukuh dalam perniagaan adalah harapan bagi semua peniaga dan usahawan yang berjaya. Dalam kata yang paling mudah, modal besar untung juga pasti besar.

Bermula dari Bawah

Beliau bekerja dari peringkat yang paling bawah. Beliau bekerja sebagai tukang kayu sebelum membuka syarikat pembinaan Kien Huat dan bergelar kontraktor kelas A. Tan Sri sendiri merupakan seorang budak miskin semasa mula berhijrah ke Tanah Melayu. Kemudian, usaha gigih beliau membuahkan hasil yang lumayan. Pelbagai pekerjaan yang dilakukan sebelum bergelar jutawan. Orang Cina berharap untuk menjadi terkenal sejak awal pembabitan dalam dunia perniagaan. Harapan adalah satu, tidak mahu kaum dan keturunan mereka terus susah. Beliau sendiri pernah dikatakan gila apabila mengatakan hasrat untuk membagunkan Gunung Ulu Kali. Lihat, sekarang impian itu telah menjadi kenyataan. Gunung Ulu Kali telah bertukar menjadi Genting Highlands. Setiap titik peluh yang mengalir telah memberikan kita keselesaan sehingga dikenali seluruh dunia. Secara tidak langsung, penubuhan Genting Highlands juga telah memberikan peluang pekerjaan kepada semua kaum.

Tidak Bermain Kotor dalam Perniagaan

Berikutnya, beliau sentiasa berpesan agar tidak bermain kotor dalam perniagaan. Jangan mengambil jalan pintas jika mahu perniagaan yang diusahakan bertahan lama sehingga boleh diwariskan kepada generasi yang berikutnya. Beliau sentiasa mengingatkan Orang Cina dan semua orang yang mahu terjun ke dunia perniagaan agar tidak membuat helah. Kerana tiada jalan pintas untuk berjaya selain dengan usaha diri sendiri. Minat yang mendalam akan menjadi pendorong dan pembakar semangat dalam pekerjaan yang dilakukan. Minat merupakan ubat yang paling berkesan untuk memajukan perniagaan. Peniaga harus sentiasa sedar diri dan percaya pada kawan sekeliling dan juga percaya kepada Tuhan dan memohon berkat daripadanya. Hendak memulakan perniagaan bukan suatu perkara yang mudah, jika mempunyai musuh, kelak perniagaan itu tidak mampu bertahan ekoran ada musuh yang menikam dari belakang. Pendek kata, berbuat baik pada semua orang adalah kuncinya.

Berani Menanggung Risko

Sebarang kemungkinan untuk jatuh mesti kita sedia terima dengan tabah dan menjadikannya sebagai batu loncatan untuk terus membina masa depan yang cerah. Jika tidak berani, hasrat untuk memulakan perniagaan harus dilupakan. Kemunculan pusat perlancongan bertaraf dunia itu adalah hasil idea seorang lelaki Cina yang pernah dilabel sebagai gila suatu ketika dahulu. Ejekan yang diterima dijadikan pembakar semangat untuk maju. Orang pernah mengatakan bahawa idea itu tidak akan kemana dan pelaburannya tidak menjanjikan pulangan modal berikutan tiada siapa yang berminat dengan perniagaan seperti itu. Beliau telah menyahut cabaran itu dengan bekerja 2 syif sepanjang minggu bagi menjimatkan kos. Beliau dan kawan-kawannya terpaksa tinggal di dalam hutan dan gua bedekatan. Beliau merupakan orang pertama yang bekerja mengikut syif 24 jam sehari sepanjang minggu untuk memastikan cita-cita itu tercapai. Beliau juga akan menjadi orang yang pertama sampai ke tempat kerja dan menjadi orang yang terakhir untuk pulang dari tempat kerja. Beliau sentiasa menjaga pekerja-pekerjanya dan beranggapan bahawa semua pekerjanya adalah aset yang paling berharga. Kini, First World Hotel merupakan antara hotel terbesar di dunia.

Secara kesimpulannya, semua orang mempunyai hak untuk berjaya dan mereka wajar diberi peluang untuk mencuba nasib. Kerana semua manusia itu mempunyai cita-cita. Mereka boleh menjadikan mana-mana tokoh sebagai inspirasi untuk berjaya. Usaha keras akan membuahkan hasil dalam setiap pekerjaan yang hendak dilakukan. Sesungguhnya setiap cita-cita dan impian menagih sepenuh perhatian dan pengorbanan yang paling tinggi. Sebelum itu, rasanya kita patut membaca biografi bertajuk "Cerita Saya". Buku ini mengandungi kisah disebalik kejayaan Tan Sri Lim Goh Tong sebelum berjaya mendirikan sebuah empayar besar bertaraf dunia.