SUMBER INSPIRASI KRU

NORMAN sentiasa menerima pandangan bapanya dalam urusan perniagaan dan peribadi. Norman, Yusry dan Edry anggap bapa tulang belakang kejayaan mereka dalam bidang seni. "BUKAN mudah mengecapi kejayaan hari ini, lebih-lebih lagi mengenangkan pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa diharungi," demikian kata salah seorang anggota KRU, Norman Abdul Halim, mengimbas perjalanan seninya tiga beradik bermula pada 1992.

Mungkin, tidak ramai menyangka dari sebuah kumpulan muzik rap, KRU kini berkembang menjadi jenama hiburan terkenal, dengan pelbagai sektor perniagaan diceburi mereka merangkumi bidang muzik, perfileman, multimedia dan teknologi. Lebih membanggakan apabila syarikat milik mereka, KRU Studios, muncul sebagai syarikat hiburan tempatan pertama membuka ibu pejabat di Cyberjaya, dengan dilengkapi studio canggih dan pelbagai peralatan produksi berteknologi moden.

Bagi Norman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, tiada formula tertentu di sebalik kejayaan itu, kecuali hubungan kekeluargaan yang kukuh, terutama sokongan tidak henti-henti dari ibu bapa mereka. "KRU Studios umpama satu institusi kekeluargaan, dengan mengamalkan konsep kerja satu pasukan. Apapun yang berlaku, kami tahu ibu bapa dan adik beradik sentiasa berada di belakang. Ketika menghadapi saat getir dulu, keluarga yang banyak menyuntik semangat untuk terus ke depan.

"Yang pasti, tanpa hubungan kekeluargaan yang kuat ini, KRU sudah lama tersungkur dan hanya tinggal nama. Jika anda bertanyakan apa rahsia kejayaan KRU, saya rasa inilah jawapannya… tonggak kekuatan KRU hingga ke hari ini," katanya. Baru saja meraikan sambutan ulang tahun ke-17 penubuhan kumpulan itu, Norman berkata, kejayaan yang dikecapinya memang di luar jangkaan, lebih-lebih lagi kemampuan melebarkan sayap ke operasi ke luar negara, dengan mempunyai rakan niaga hingga ke Amerika Syarikat dan Eropah.


"Sebenarnya, selain sokongan keluarga, disiplin juga antara formula kejayaan KRU. Sejak kecil daddy memang menerapkan disiplin yang tinggi dalam diri anak-anaknya, termasuk menghormati masa. Berbanding mummy, daddy memang tegas orangnya, terutama dalam bab disiplin, masa dan pelajaran. Bila diimbas semula caranya mendidik kami empat beradik, ia memang cukup mengagumkan. Tanpa ajarannya itu, belum tentu kami berjaya dalam hidup masing-masing seperti hari ini. Dia memang `superhero' kami empat beradik," katanya.

Berbicara lebih lanjut, Norman mengakui, ayahnya berperanan penting dalam mempengaruhinya, begitu juga Yusry dan Edry terhadap bidang muzik. "Daddy tidak minat sangat tengok TV, sebaliknya lebih suka mendengar radio. Dia selalu beli kaset dan piring hitam dulu, terutama membabitkan lagu evergreen dan oldies. Selalunya selepas menyemak kerja-kerja sekolah kami, dia akan mendengar lagu kegemarannya."

"Dari situlah, kami tiga beradik mula meminati muzik hingga terbawa-bawa sampailah sekarang. Malah, ketika menyuarakan hasrat untuk menceburi bidang ini dulu, daddy tidak menghalang, malah memberikan sokongan asalnya pelajaran diutamakan," katanya. Sambil memberitahu akan memberikan hadiah istimewa untuk ayahnya sempena Hari Bapa hari ini, Norman yang sedang meniti usia 37 tahun berkata, terlalu banyak kenangan istimewa bersama ayahnya yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.

"Melihat daddy yang usianya kini mencecah 69 tahun, rasanya saya belum bersedia untuk kehilangannya. Saya rasa anak-anak orang lain pun tentu tidak mahu kehilangan ibu bapa mereka. Tapi, kita tidak boleh berbuat apa-apa… ini semua ketentuan Allah. Cuma, setiap kali selepas bersolat, saya akan berdoa akan dikurniakan kesihatan yang baik untuk mummy dan daddy. Sebagai anak sulung, saya akan cuba membahagiakan mereka setakat yang termampu… berbakti dan beramal kepada mereka," katanya.

Norman turut memberitahu beliau dan adik-beradiknya juga sedang membina sebuah rumah baru untuk ibu bapa mereka di Country Heights, Kajang, menggantikan banglo sedia ada di Bukit Keramat, Kuala Lumpur supaya lebih dekat dengan ibu pejabat baru KRU Studios. "Selepas sekian lama bekerja keras dan bertungkus lumus membesarkan kami, saya dan adik-beradik lain rasa mereka selayaknya diberikan penghargaan sebegini. Jika diikutkan, tidak seberapa pemberian itu jika dibandingkan dengan segala pengorbanan dan jasa yang dicurahkan mereka," katanya.



Sebelum mengakhiri perbualannya, Norman agak terharu apabila ditanya mengenai kenangan yang tidak dapat dilupakan bersama ayahnya. "Baru-baru saya terlihat satu gambar lama. Dalam gambar itu cuma ada saya, Yusry dan Didi (Edry) ketika kecil. Gambar itu sudah kuning pun. Rasanya gambar itu mummy yang tangkap ketika kami sekeluarga bercuti di Port Dickson. Ia merakamkan aksi kami mengejar daddy. Walaupun detik itu sudah lama berlalu, saya masih boleh membayangkan situasi ketika itu. Daddy memang suka bawa kami berjalan keliling Malaysia. Sekarang memang susah untuk melakukannya kerana masing-masing sibuk," katanya.